Pages

Thursday, November 5, 2009

Sejarah Sekolah

Sekolah Jenis Kebangsaan ( C ) Chung Wa , Gerik telah ditubuhkan pada tahun 1925 , dan merupakan salah sebuah sekolah yang terawal dan bersejarah di Daerah Hulu Perak . Pada ketika itu , bilangan permastautin di Gerik hanya beberapa ratus orang sahaja . Keadaan infrastuktur pekan Gerik yang masih jauh ketinggalan pada masa itu , hanya terdiri daripada dua deretan kedai papan yang dipagari dengan batang-batang buluh bagi mengelakkan diceroboh masuk oleh lembu-lembu yang berkeliaran . Fokus pengangkutan pada ketika itu hanya tertumpu kepada kereta lembu dan gajah sahaja . Kereta lembu digunakan untuk mengangkut keperluan makanan harian manakala gajah pula digunakan untuk mengangkut bijih timah .

Pada tahun 1923 , seorang guru yang berasal dari Negara China telah berhijrah ke Gerik,lalu membuka sebuah kelas Bahasa Cina(Suwa) dengan jumlah muridnya seramai 13 orang sebagai perintis.Pada tahun 1924 pula, seorang lagi guru yang bernama En. Ooi telah membuka sebuah lagi kelas Bahasa Mandarin dengan jumlah muridnya seramai 10 orang sahaja.Usaha dan kegigihan kedua-dua orang guru tersebut merupakan faktor yang mendorong tertubuhnya SJK(C) Chung Wa pada tahun berikutnya.

SJK(C) Chung Wa diasaskan oleh empat orang tokoh tempatan iaitu; En. Lee Lip, En. Teoh Shin Chong, En. Lau Seng, dan En. Wang Chai pada tahun 1925, dengan mendirikan sebuah bilik darjah di atas tapak sekolah yang ada sekarang.Guru Besar pertama SJK(C) Chung Wa ialah En. Tan Seong Kan dan bilangan murid pada masa itu seramai 20 orang sahaja.

Pada tahun 1928, bilangan murid di SJK (C) Chung Wa telah berkurangan kepada 3 orang sahaja.Justeru, pihak sekolah terpaksa menghadapi masalah kewangan bagi pembiayaan pengajaran dan pembelajaran sekolah.Walau bagaimanapun, atas sokongan kuat daripada masyarakat setempat, pengajaran dan pembelajaran di sekolah tersebut dapat juga diteruskan walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan.Dalam tahun yang sama, En. Tan telah meninggalkan Gerik dan jawatan beliau sebagai Guru Besar telah ambil alih oleh En Teoh Shu Eng.Pada tahun itu juga,Lembaga Pengurus Sekolah yang pertama telah ditubuhkan dengan Pengerusi Lembaga Pengurus Sekolah yang pertama En. Lau Seng.Hasil komitmen Lembaga Pengurus Sekolah, bilangan murid telah bertambah kepada 30 orang; terdiri daripada 26 murid lelaki dan 4 orang murid perempuan.

Pada tahun 1933, En. Teoh Shu Eng telah pulang ke Negara China.Jawatannya diganti pula oleh En. Shi Chau Chen.En. Shi bertugas di SJK(C) Chung Wa selama setahun, sebelum diambil alih oleh En. Teoh Chi Chian.En. Teoh bertugas di SJK(C) Chung Wa sehingga tahun 1937.Selepas itu, jawatan tersebut digantikan pula oleh En. Gan Choon Fan.Setelah berkhidmat selama setahun, tugas En. Gan sebagai Guru Besar diganti oleh En. Lim Tong Han.Selama beliau menyandang tugas tersebut, bilangan murid telah bertambah dan bilangan guru juga telah meningkat kepada 4 orang.

Pada 17 Oktober 1941, tentera Jepun telah mara ke Gerik.Akibat bahana Perang Dunia Kedua,SJK(C) Chung Wa terpaksa ditutup dan semua kakitangan terpaksa meninggalkan Gerik.Setelah ditutup selama 3 tahun 8 bulan, akhirnya sekolah ini dibuka semula apabila tentera Jepun menyerah diri.Jawatan Guru Besar disandang pula oleh En. Yeoh Wa Kim dengan jumlah murid seramai 80 orang.

Pada tahun 1947, En. Yeop telah ditukarkan dan En. Gan Choon Fan kembali menjadi Guru Besar di SJK(C) Chung Wa buat kali kedua.Sepanjang perkhidmatan En. Gan, bilangan murid telah meningkat seramai 200 orang.

Pada tahun 1948, En. Yeoh Kong Liang menjadi Guru Besar apabila En. Gan meninggalkan Gerik.Pada tahun inilah tercetusnya trajedi yang tidak dapat dilupakan.Pengganas-pengganas komunis telah mencerobohi kawasan sekolah dan merampas semua kad pengenalan diri murid.Murid-murid ditawan, menyebabkan ibu bapa bimbang dan takut akan keselamatan anak-anak mereka.Pada ketika itu juga, pertempuran demi pertempuran antara askar-askar British dengan pihak komunis sering berlaku berhampiran kawasan sekolah.

Tiga tahun kemudian, iaitu pada tahun 1951, bilangan murid bertambah daripada 200 orang kepada 300 orang.Bilangan bilik darjah turut ditambah menjadi 10 buah memandangkan jumlah bilangan kelas yang ada tidak mampu menampung jumlah bilangan murid seramai 300 orang.Pada ketika itu, En. Chan Ai Hwa menyandang jawatan Guru Besar.

Tanggal 31 Ogos 1957, Malaysia mencapai kemerdekaan.Tarikh keramat ini telah membawa era baru dalam bidang pendidikan di SJK(C) Chung Wa.Pihak Kerajaan Persekutuan telah menyumbangkan bantuan subsidi kepada pihak sekolah.Dengan bantuan ini, seramai 7 orang guru ditugaskan untuk mengajar seramai 380 orang murid, di bawah naungan En. Ling Loke Min selaku Guru Besar.Pada tahun 1959, sebuah dewan kecil telah dibina dengan bantuan pihak kerajaan.

En. Wong Ping Kuang memangku jawatan Guru Besar, apabila En. Lim Lu Min bersara pada tahun 1964.Setahun kemudian, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Penyelia Sekolah Cina di Jabatan Pendidikan Perak.Tempat beliau telah digantikan pula oleh En. Teh Ewe Chor.Pada masa itu, bilangan murid telahpun meningkat menjadi 600 orang dengan bilangan tenaga pengajarnya seramai 18 orang.Berdasarkan jumlah murid tersebut, sekolah ini telah dinaikkan taraf dari Gred C ke Gred B.

Pada tahun 1968, sebuah perpustakaan telah dibina dengan bantuan pihak kerajaan.Sepuluh tahun kemudian, iaitu pada tahun 1978, sebuah bangunan tambahan yang mengandungi dua bilik darjah telah didirikan.

Melalui Perlaksanaan Projek Pembangunan Sekolah di bawah Rancangan Malaysia Keempat pada tahun 1981, pihak kerajaan telah meluluskan usul membina 10 bilik darjah, 1 bilik pejabat, 1 bilik guru besar, 1 bilik guru penolong kanan, 1 bilik TV pendidikan, 3 stor, 4 tandas dengan kelengkapan letrik dan air.Malangnya usul tersebut tidak dapat dilaksanakan memandangkan peruntukan yang diperlukan tidak mencukupi.Namun begitu, pihak kerajaan telah meluluskan satu projek kilat dengan membina 6 bilik darjah, bagi menampung masalah kekurangan bilik darjah dan memperbaiki keadaan bilik darjah lama yang telah usang.

En. Teh bersara pada 12 Oktober 1983 dan jawatan beliau sebagai Guru Besar diambil alih oleh En. Seoh Lye Soo.

Bermula awal tahun 1984,waktu persekolahan di SJK(C) Chung Wa telah mengalami perubahan apabila waktu persekolahan dua sessi dijadikan satu sessi.Sessi persekolahan dijalankan pada sebelah pagi manakala semua aktiviti ko-kurikulum diadakan pada waktu petang.Semasa En. Seoh bertugas sebagai Guru Besar di SJK(C) Chung Wa, beliau dengan kerjasama PIBG, Lembaga Pengurus Sekolah, Persatuan Murid-Murid Tua, Parti MCA, dan Parti Gerakan telah mengemukakan permohonan semula Perlaksanaan Projek Pembangunan Sekolah.Pada 16 Mei 1989, En. Seoh telah ditukarkan ke Taiping dan tempat beliau digantikan oleh En. Hee Chee Hoong.

Pada tahun 1990, kerajaan telah meluluskan Perlaksanaan Projek Pembangunan Sekolah di bawah Rancangan Malaysia Kelima.Melalui perlaksanaan projek tersebut, pihak kerajaan telah membina 10 bilik darjah baru, 1 bilik pejabat, 1 bilik guru besar, 1 bilik penolong kanan, 1 bilik TV Pendidikan, 3 stor, 4 tandas dengan kelengkapan letrik dan air.Dengan kemudahan-kemudahan yang diberikan oleh pihak kerajaan, murid-murid dapat belajar dalam satu suasana yang baru, pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan teratur dan sempurna.Semua aktiviti ko-kurikulum pula dijalankan pada waktu petang, mulai jam 4.30 petang hingga jam 5.30 petang tiap-tiap hari persekolahan.

Pada Februari 1993, En. Hee telah ditukarkan ke SJK(C) Simpang, Taiping.En. Lai Hup Seng, telah mengambil alih tugas beliau.Pada masa itu, Dewan SJK(C) Chung Wa tidak dapat digunakan lagi kerana mengalami kebocoran dan perlu diperbaiki.Berkat inisiatif dan kerjasama daripada PIBG, Lembaga Pengurus Sekolah, dan Persatuan Murid-Murid Tua, satu kutipan khas dilancarkan pada 16 Februari 1994 dan berjaya mengumpul sebanyak RM 40 000.00 hasil kutipan derma daripada ibu bapa dan masyarakat setempat.Wang yang dipungut itu telah digunakan untuk memperbaiki dan memperbaharui dewan tersebut.Selepas penyelenggaraan tersebut dilaksanakan, aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum dapat dijalankan dalam dewan tersebut yang dapat menampung seramai 424 orang murid ketika itu.

En. Lai telah bertukar ke daerah Kinta pada September 1995 dan jawatan sebagai Guru Besar telah dijawat oleh bekas guru besar SJK(C) Kuala Rui, En. Toh Chee Chong.

Selaras dengan kempen celik IT menjelang tahun 2020, SJK(C) Chung Wa telah menerima sumbangan sebanyak 20 unit komputer Model 486 bernilai RM 46 000.00 daripada PIBG, Lembaga Pengurus Sekolah, dan Persatuan Murid-Murid Tua SJK(C) Chung Wa, pada tahun 1996.Hasil sumbangan tersebut, pihak sekolah telah dapat menjalanlan program Komputer Pendidikan di SJK(C) Chung Wa.

Pada tanggal 24 Jun 1996, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia Yang Berhormat Datuk Dr. Fong Chan Onn, telah merasmikan bangunan baru SJK(C) Chung Wa.

Kini, SRJK(C) Chung Wa mempunyai seramai 418 orang murid dan 17 orang pendidik.Walaupun masih menghadapi masalah kekurangan tenaga pengajar, sekolah ini masih dapat menjalankan segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran, serta kegiatan ko-kurikulum seperti biasa.Namun begitu, pihak sekolah masih berharap agar masalah kekurangan tenaga pengajar yang dialami setiap tahun akan berakhir supaya matlamat ke arah kecermelangan pendidikan dapat dicapai dengan jayanya dalam keadaan yang sempurna.

0 comments:

Post a Comment